Ratusan
tahun sebelum Bangsa Melayu menangisi kehilangan pulau Singapura, kita
telah lama kehilangan satu wilayah yang cukup luas, iaitu hampir
meliputi keseluruhan pantai timur Indochina. Lebih menyakitkan, wilayah
tersebut menyimpan seribu satu rahsia dan bukti tamadun awal rumpun
Melayu yang pernah menguasai hampir keseluruhan kawasan daratan dan
perairan Asia Tenggara. Negara tersebut, tidak lain dan tidak bukan,
adalah Champa, yang telah berhadapan dengan serangan dan migrasi
besar-besaran secara berterusan selama ratusan tahun daripada satu kaum
yang berasal dari selatan Negara China iaitu Dai-Viet. Kehilangan
Champa
sama seperti kehilangan Patani yang mewarisi keagungan Langkasuka juga
akibat serangan dan migrasi berterusan daripada kaum Thai (Sukotai,
Ayutthaya dan Chakri) yang juga berasal dari selatan China. Champa, atau
apa jua panggilan kepadanya, seperti Lin Yi dan Houan-Wang (catatan
China), Kembayat Negara (Syair Siti Zubaidah – Perang China), dan
Tawalisi (catatan Ibnu Battutah) kini hanya tinggal sejarah dan
penduduknya hidup bertaburan terutamanya di Vietnam serta Kemboja dan
menjadi kaum minoriti di bumi sendiri.
Kali terakhir Champa
berjaya bangkit membela nasib sendiri adalah semasa di bawah
pemerintahan Raja teragung mereka iaitu Che Bo Nga, yang dinyatakan
dalam lagenda Cham sebagai Binasuar, manakala Sejarah Dinasti Ming
mencatatkan namanya sebagai Ngo-Ta-Ngo-Tcho, memerintah mulai sekitar
tahun 1360 Masihi. Malangnya, kebangkitan Che Bo Nga ibarat seperti
‘sinar matahari yang penghabisan sebelum terbenam’. Di bawah pimpinan
baginda,
Champa kembali bangkit dari tahun 1361 hingga 1390 Masihi dengan
melancarkan beberapa serangan balas kepada pihak Dai-Viet dan
memenanginya. Malangnya, baginda akhirnya mangkat pada bulan Februari
1390 Masihi akibat pengkhianatan daripada salah seorang pengawalnya
sendiri yang menyebabkan perahu baginda dikepung oleh tentera Vietnam.
Apa yang menarik, kebanyakan pengkaji sejarah bersepakat bahawa Sultan
Zainal Abidin, tokoh yang dinyatakan di dalam sebuah hikayat Melayu lama
iaitu Syair Siti Zubaidah merujuk kepada Che Bo Nga itu sendiri,
sedangkan kebanyakan pengkaji sejarah Barat bersetuju Raja-raja Champa
hanya mula memeluk Islam bermula pada abad ke-17 iaitu berdasarkan
catatan seorang paderi bernama M. Mahot yang bertugas di Champa pada
tahun 1676 hingga 1678 Masihi dan mengatakan bahawa Raja dan sebahagian
besar penduduk Negara Champa telah menerima agama Islam yang disebarkan
oleh orang Melayu yang telah ramai berhijrah dan menetap di sana.
Laporan Mahot ini telah disahkan oleh seorang paderi lain bernama M.
Freet apabila dia menyaksikan sendiri keIslaman Raja Champa dan telah
dihadiahkan sebuah Al-Quran.
Mahkota Kebesaran Champa
Maklumat
mengenai Raja-raja Champa khususnya daripada riwayat tradisi Kelantan
pula memberikan perspektif yang berbeza daripada sejarah umum kerana
dinyatakan bahawa kebanyakan Raja-raja Champa semasa era Pandurangga
(Phan Rang) sebagai ibukota telah beragama Islam dan mempunyai hubungan
kekerabatan dan persaudaraan yang erat dengan Negeri-negeri Melayu di
pantai timur semenanjung Tanah Melayu. Sebagai contoh, Raja Bo Tri Tri
dikatakan adalah Wan Bo, anak kepada Ali Nurul Alam (Patih Majapahit
Barat yang berpusat di Kelantan) serta cucu kepada Sayyid Hussein
Jamadil Kubra, tokoh terulung penyebar syiar Islam di Nusantara. Wan Bo
dikatakan telah meninggalkan Patani dan pergi ke Champa menjadi panglima
perang untuk membantu bapa mertuanya iaitu Raja
Chandranekalawa atau Ban-La-Tra-Toan menentang Dai-Viet. Selepas
mengalami kekalahan dalam peperangan pada tahun 1471 Masihi, Wan Bo
bersama-sama rakyat Champa yang lain telah berundur ke kawasan selatan
yang berpusat di Pandurangga. Baginda kemudian diisytiharkan sebagai
Raja Champa dengan gelaran Sultan Wan Abu Abdullah untuk menggantikan
bapa mertuanya iaitu Ban-La-Tra-Toan yang telah ditawan dan mangkat
dalam tahanan musuh. Pemerintahannya berakhir sehingga tahun 1478 Masihi
dan digantikan oleh dua orang anak saudaranya iaitu Wan Abu Yusof dan
kemudiannya Wan Abdul Kadir atau Kou Lai (1478-1515 Masihi).
Riwayat
Kelantan juga menyatakan bahawa Datu wilayah Jambu yang juga pemangku
Sultan Patani iaitu Datu Nik Musthapa telah kembali ke Champa bagi
membebaskan bumi Melayu-Islam tersebut daripada pencerobohan rejim
Nguyen pada tahun 1570. Raja Champa, Sultan Yaakub Syahibuddin yang
sudah sangat lanjut usianya telah ditawan dan mangkat dalam
kurungan sangkar besi semasa diarak ke Kota Hue. Pada tahun 1577, Datu
Nik Mustapha membawa 10,000 orang tentera Patani dan bersama anak
saudaranya Sultan Adiluddin yang membawa 5,000 orang tentera Kelantan
bertolak dari kota Pengkalan Datu, Kelantan dan menyerang Dai-Viet untuk
merebut kembali Pandurangga. Sebahagian besar dari bumi Champa yang
telah jatuh ke tangan Dai-Viet sejak tahun 1471 Masihi telah dapat
dikuasai semula sehingga hampir ke Kota Hue. Setelah peperangan tamat
dalam tahun 1580, Datu Nik Mustapha telah ditabal menjadi Raja Champa
dengan gelaran Sultan Abdul Hamid Syah. Di kalangan orang-orang Cham dan
Vietnam, baginda lebih dikenali degan pangilan Po Rome, manakala
orang-orang Kemboja memanggil baginda Ong Tpouo.
Walaubagaimanapun,
dalam tahun 1684 Masihi, Champa telah kalah dalam peperangan dengan
Dai-Viet dan Negeri Kelantan telah dibanjiri oleh pelarian dari Champa
termasuklah rajanya sendiri iaitu Po Ibrahim (Po Nrop). Po
Ibrahim kemudian telah berangkat bersama pengikutnya meninggalkan
Kelantan dan berpindah ke Kampong Brek Bak di dalam wilayah Cham di
Kemboja untuk meneruskan penentangan terhadap Dai-Viet. Putera kepada Po
Ibrahim iaitu Wan Muhammad telah diangkat oleh Dai-Viet menjadi Raja
Champa bergelar Po Jatamuh setelah baginda bersedia mengakui untuk
membayar ufti kepada Kerajaan Nguyen.
Setelah Po Jatamuh mangkat,
kekandanya iaitu Wan Daim yang sebelum itu merupakan Datu Negeri Jambu
telah diangkat menjadi Raja Champa bergelar Po Top. Dalam tahun 1692,
baginda cuba memberontak terhadap regim Nguyen setelah membuat pakatan
dengan ayahandanya Po Ibrahim yang sedang berada di Kemboja dan kemudian
terjadilah serangan serentak di dalam negeri dan perbatasan Kemboja.
Walaubagaimanapun, Wan Daim tewas dalam peperangan tersebut dan berundur
kembali bersama keluarganya ke Patani, sementara ayahandanya Po Ibrahim
yang telah tua mangkat di Kemboja dan dimakamkan di
Kampong Brek Bak. Raja-raja Champa selepas itu tidak lagi memiliki
kedaulatan sehinggalah Kerajaan Champa dihapuskan sepenuhnya di bawah
pemerintahan rajanya yang terakhir iaitu Po Chong Chan.
Sejarah
kemegahan dan tamadun Champa yang cukup panjang iaitu memakan masa
ratusan tahun tidak cukup untuk diulas dan dimuatkan semuanya dalam
ruangan artikel yang terhad ini. Namun begitu, ianya bagaikan tidak
bermakna pada hari ini kerana hanya tinggal sisa-sisa sejarah. Wilayah
kekuasaannya telah menyusut sedikit demi sedikit sebelum hilang
sepenuhnya dan kini seolah-olah menjadi tanahair asal untuk kaum
Dai-Viet. Negara Champa telah merakamkan sisi gelap yang sering
menyebabkan kejatuhan sesebuah Kerajaan di Nusantara, terutamanya
disebabkan perpecahan di kalangan pembesar negara dan rakyatnya serta
pengkhianatan yang dibuat oleh orang kepercayaan sendiri disebabkan
sifat tamakkan ganjaran dunia. Malahan, kebanyakan orang Melayu sendiri
pada hari ini
tidak kira di negara kita, Singapura, Brunei dan Indonesia pun kadang
kala tidak tahu mengenai kewujudan negara Champa.
Wednesday, July 4, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment