Voice Your Opinion And Get Rewards From YouthSays

Thursday, December 25, 2008

Program Homestay Tambah Pendapatan Penduduk Mengkuang Titi

Oleh Muna Khalid

BUKIT MERTAJAM, 13 Ogos 08 (Bernama) -- Dulunya Mengkuang Titi hanya sebuah perkampungan Melayu di Permatang Pauh yang tidak dikenali, apatah lagi dikunjungi pelancong dari jauh.

Kini, kampung yang terletak di daerah Seberang Perai Tengah, kira-kira 25 kilometer dari Butterworth, mula didatangi tetamu dari merata dunia sejak adanya program homestay yang diperkenalkan mulai tahun 1997.

Namun selepas 10 tahun, ia belum boleh dibanggakan sebagai projek yang benar-benar dapat mengubah nasib penduduk kampung di situ, setidak-tidaknya bagi Mohd Nor Ariffin, 55.

"Pendapatan tambahan saya daripada projek ini hanyalah kira-kira RM300 sebulan," keluh beliau.

Sungguhpun begitu, beliau masih berupaya memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan sebagai seorang pekerja kontrak di kampung itu.

Dengan pendapatan itu, Mohd Nor menyara hidup keluarganya terutama anaknya, Mohd Nizam, 18, yang kini mengikuti kursus kejuruteraan komputer di Universiti Putra Malaysia.

"Perbelanjaan di universiti sangat tinggi, duit yang dapat bolehlah bantu anak saya belajar," katanya.

Peserta homestay seperti Mohd Nor mengharapkan kehadiran pelancong yang berterusan ke kampungnya bagi memastikan beliau mendapat pendapatan yang memuaskan.

Bagi mencapai matlamat itu, program homestay itu perlu dipasarkan secara berkesan bagi memastikan pelancong tidak putus-putus ke Mengkuang Titi.

Pengusaha restoran di kampung itu, Mohamad Mohd Nor berkata beliau menyediakan makanan dan minuman kepada kumpulan pelancong yang melawat kampung itu.

"Ia merupakan pendapatan sampingan saya. Setiap kali pelancong datang, saya memperolehi pendapatan tambahan kira-kira RM200," katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Ali.

Mohd Nor dan Pak Ali meletakkan harapan yang tinggi agar program homestay itu dapat dinaik taraf dan dipromosikan secara meluas supaya lebih ramai pelawat melawat kampung.

Mereka mahu bakal anggota Parlimen kawasan itu turut membantu mempromosi serta mendapatkan bantuan kerajaan untuk penambahbaikan program itu.

Penduduk Permatang Pauh akan mendapat anggota Parlimen baru berikutan perletakan jawatan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai anggota Parlimen kawasan itu bagi memberi laluan kepada suaminya,penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh akan diadakan pada 26 Ogos ini.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Mengkuang Titi, Rohaizat Othman berkata sejak dilaksanakan sebanyak 35 buah rumah dilesenkan sebagai homestay di bawah Majlis Tindakan Pelancongan negeri.

Katanya, untuk melayakkan sebuah rumah itu diisytiharkan sebagai homestay, pemilik rumah (anggota koperasi) mestilah memastikan rumah mereka bersih, cantik, kemas, persekitaran yang menarik serta mempunyai bilik tetap yang telah diasingkan untuk dikhaskan kepada para pelancong.

Setakat ini, Mengkuang Titi menerima kehadiran pelancong asing hampir setiap bulan antaranya dari Amerika Syarikat, Thailand, Jepun dan Sepanyol.

Rohaizat berkata sejak dilaksanakan, program itu berjaya menambah pendapatan pemilik rumah yang terlibat."

Setiap rumah boleh menempatkan sekurang-kurangnya dua orang pelancong dan kadar bayaran untuk satu malam ialah RM50 setiap seorang termasuk sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam," katanya.

Rohaizat berkata kerajaan melalui Unit Penyelarasan Bumiputera memperuntukkan antara RM5,000 hingga RM12,000 bagi membaiki rumah yang terlibat untuk keselesaan pelancong.

Dengan mengekalkan struktur rumah tradisi dan suasana kampung orang Melayu, setiap rumah yang terlibat ditambah nilai dengan menyediakan sekurang-kurangnya satu bilik tidur yang dilengkapkan dengan bilik mandi, tandas dan kemudahan asas lain untuk pelancong yang tinggal bersama keluarga terlibat.

Katanya selain program homestay, pelbagai program lain diadakan di kampung itu antaranya persembahan kebudayaan dan berkemah berjaya menarik seramai 274 pelawat ke Mengkuang Titi sejak Januari hingga April lepas.

Program Homestay adalah satu daripada program pembangunan fizikal oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dilaksanakan oleh bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Pejabat Daerah.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment